KiSaH PaK cIk lAkSa BeRas
Suatu hari sedang
saya membersihkan halaman, lalu seorang penjual laksa beras, menaiki motorsikal
mengelilingi kampung. Oleh kerana matahari telah
makin merendah selepas asar,saya pun berhenti rehat. Apabila nampak penjual
laksa beras lalu, saya pun memanggil untuk merasa laksa berasnya. Baru
kira-kira satu bulan saya dan keluarga berpindah ke kampung ini, bertugas
sebagai inspektor menjaga parit dan saliran. Saya melaung bertanya kepada
isteri dan anak-anak, adakah mereka juga turut ingin makan laksa beras. Isteri
dan anak-anak 4 orang juga inginkan laksa beras. Bermakna saya pesan 6 pinggan
laksa beras. Dengan menggunakan ukuran mangkuk standardnya laksa dihidang dalam
mangkuknya dahulu sebelum dituang ke pinggan yang pelanggan sediakan. Zaman
ini, kebanyakkan penjual laksa beras bermotorsikal tidak perlu bawa banyak
mangkuk atau plastik bungkus. Cukup sebuah mangkuk yang dibawanya untuk jadi
ukuran yang sama setiap pinggan yang dipesan pelanggan. Semua yang membeli
laksa beras perlu membawa pinggan atau mangkuk sendiri ke motor pakcik jual
laksa itu berhenti. Setelah membeli laksa beras,pelanggan akan makan di dalam
rumah masing-masing bersama keluarga. Cara ini telah menyelamatkan alam
sekitar, tidak ada pelupusan bahan plastik atau pembaziran bekas. Setelah
membayar harga bagi 6 pinggan laksa beras, saya melihat penjual itu
membahagikan duit yang saya bayar kepada 3 tempat. Duit itu di bahagi 3, 1/3 ke
dalam dompet, 1/3 ke dalam laci duit dan 1/3 ke dalam bekas seperti tabung.
Melihat keadaan itu, menjadikan saya teruja ingin tahu kenapa duit-duit itu
diasingkan. Maka terus saya bertanya, “pak cik kenapa pakcik asing-asingkan duit
tersebut?” Pakcik itu pun menajwap, duit yang masuk dompet digunakan untuk
perbelanjaan perniagaan dan keluarga, duit yang masuk tabung untuk simpanan
penyempurnaan agama dan duit yang masuk laci untuk infak. Dalam setiap rezeki
yang kita perolehi, ada hak orang lain juga. Walaupun sikit, kita wajar berbagi
sama. Saya mengilirkan wang itu antara beberapa surau dan masjid. Atau untuk
rumah anak yatim juga. Selama lebih 20 tahun saya berniaga laksa beras, dari
berbasikal, sekarang sudah bermotorsikal, setiap tahun saya dapat melaksanakan
ibadah korban walaupun cuma 1 ekor kambing yang sederhana besar. Alhamdullilah,
saranan agama, walaupun sunat, ia dapat dilakukan. Setiap hari saya mula
berniaga dari pukul 11.00 pagi. Apabila tiba dimana-mana kampung, menjelang
waktu solat samada zohor atau asar, saya akan berhenti untuk solat berjemaah di
mana –mana surau kampung berkenaan. Saya tidak akan lupa memasukkan sedikit
hasil jualan laksa beras ini walaupun sedikit. Walaupun cuma menjual laksa
beras, saya tetap dapat mengerjakan solat di awal waktu secara berjemaah .
Dapat menginfak wang hasil jualan laksa beras untuk dikongsi dengan orang lain. Saya suka berniaga menggelilingi kampung dan berhenti solat di mana-mana surau
atau masjid yang ditemui menjelang waktu solat.Saya pernah dengar tuan guru
kata, nanti di mahkamah akhirat, bumi dan hari akan menjadi saksi. Maka nanti
bumi akan berkata, si polan pernah solat di sini, disini, di sini. Hari Isnin
sipolan solat di masjid ini, hari Selasa kata si polan solat di surau ini.Dan
seterusnya. Saya tidak kaya, tidak punya harta yang banyak untuk melaksanakan
zakat atau wakaf, namun saya tetap bersedekah ikut rezeki yang Allah berikan
kepada saya setiap hari. Duit dalam tabung pula sebagai simpanan untuk
menyempurnakan rukun Islam. Islam terdiri dari 5 rukun, mengerjakan haji adalah
rukun ke 5. Adakah solat itu sempurna jika rukunnya tidak sempurna? Saya
merasakan islam saya tidak akan sempurna jika rukunnya saya tidak sempurnakan. Oleh itu saya mahu berusaha menyempurnakan rukun Islam ke 5 iaiatu mengerjakan
haji. Jika tidak menabung, bagaimana mungkin saya dapat mengerjakan haji kerana
ia memerlukan biaya yang besar. Terpegun saya dengan jawapan yang diberikan
oleh seorang penjual laksa beras ini. Seorang penjual laksa beras, mempunyai
misi dan visi yang jelas sebagai seorang islam. “Pakcik, bukankah mengerjakan
haji bagi yang mampu saja, jika tidak mampu kita tidak dituntut untuk
mengerjakannya.” “Bagaimana boleh mampu jika kita tidak usaha menuju ke arah
mampu. Jika tidak menabung, bagaimana mungkin akan mampu mengerjakan haji suatu
hari nanti? Mampu itu kita sendiri yang tentukan. Adakah selamanya kamu mahu
hidup miskin jika kamu tidak usaha menjadi kaya dengan menabung sedikit-sedikit
mengumpul modal bagi meluaskan perniagaan?” MasyaAllah, begitu jelas sekali
fikirannya tentang maksud mampu. Tersentap hingga hujung hati bila membanding
diri ini dengan pakcik yang hanya menjual laksa beras bermotosikal
menggelilingi kampung. Muka saya bagai ditampar-tampar kerana berilmu tetapi
tidak beramal. Siapa yang sangka dan ambil peduli akan kejernihan fikiran
pakcik dalam melaksanakan syariat agama Islam ini. Kisah ini saya abadikan bagi
mengingatkan keenakkan laksa beras yang selalu saya beli dari seorang penjual
laksa beras yang bermotosikal menggelilingi kampung. Tidak pasti adakah pakcik
ini masih hidup atau telah meninggal dunia. Laksa berasnya memang enak.x
No comments:
Post a Comment